Wednesday, March 20, 1985

RUMUSAN

BAHASA MELAYU
RUMUSAN

SOALAN 1 – RUMUSAN
(30 MARKAH)

Tulis dalam 4 perenggan.

  • Perenggan 1 : Pendahuluan
  • Perenggan 2 : Isi tersurat
  • Perenggan 3 : Isi tersirat
  • Perenggan 4 : Kesimpulan

Pendahuluan

  • Ambil fokus / Unsur pertama .
  • Fokus pertama ialah bahagian pertama dalam arahan soalan.
  • Kenal pasti kata kunci dalam fokus pertama.
  • Gantikan kata kunci dengan perkataan lain yang sama maksud.

Contoh : Arahan soalan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara memajukan sektor pertanian dan kekangannya.

Fokus 1: cara-cara memajukan sektor pertanian (Isi Tersurat)

Cara-cara = kaedah / Langkah-langkah

Petikan membincangkan langkah-langkah memajukan sektor pertanian.

cara-cara = langkah / kaedah / usaha / modus operandi

kesan = akibat / implikasi

sebab-sebab = faktor-faktor / punca-punca

Faedah = kepentingan / kebaikan / manfaat / kelebihan

Masalah = kekangan / kesulitan / kerumitan / halangan

Tanggungjawab = peranan / sumbangan

Isi Tersurat

  • Isi tersurat terdapat dalam petikan.
  • Minimum 2 isi.
  • Maksimum 6 isi.
  • Fokus pertama dalam arahan soalan ialah isi tersurat.

Isi Tersirat

  • Isi tersirat ialah pendapat calon.
  • Fokus kedua dalam arahan soalan ialah isi tersirat.
  • Minimum 2 isi.
  • Maksimum tiada had tetapi jumlah perkataan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kesimpulan

  • Perlu ada dua unsur, iaitu satu cadangan dan kesan daripada cadangan itu.

Contoh:

Rakyat Malaysia hendaklah menceburi bidang pertanian supaya sektor pertanian dapat dimajukan.

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang akibat pembakaran hutan secara terbuka dan cara-cara mengatasinya. Panjang rumusan itu hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kebakaran hutan secara terbuka yang berlaku di negara ini sudah mencapai tahap serius lebih-lebih lagi apabila kebakaran itu berlaku pada musim kemarau. Oleh sebab kekurangan air maka kebakaran itu akan merebak dengan pantas dan sukar dikawal. Tragedi itu memburukkan keadaan cuaca di negara ini.

Oleh yang demikian, amaran keras tentang pengawalan kualiti alam sekitar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam kes pembakaran hutan tidak boleh dipandang ringan. Pihak yang ingkar, hendaklah diambil tindakan yang tegas. Di samping itu, kerajaan negeri hendaklah bertindak tegas terhadap pembakar hutan di negeri masing-masing. Kebanyakan negeri mempunyai kawasan hutan yang luas dan kemungkinan berlaku kebakaran hutan adalah tinggi. Apabila hutan terbakar, api sukar dipadamkan kerana tiupan angin yang kencang, kesukaran perhubungan dan kekurangan peralatan. Tambahan pula, kerja-kerja memadamkan kebakaran hutan memerlukan tenaga kerja dan wang yang bukan sedikit.

Kebakaran hutan bukan sahaja menimbulkan persekitaran yang tidak sihat malah tindakan tersebut membunuh pelbagai spesies binatang yang terdapat di kawasan berkenaan. Selain itu, kebakaran juga memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan akar kayu yang boleh dijadikan ubat-ubatan.

Pembakaran hutan dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengusahakan kawasan itu secara haram sama ada untuk bercucuk tanam atau tujuan lain. Oleh itu, pihak berkuasa mesti sentiasa meninjau kawasan hutan yang berkemungkinan diteroka secara haram. Rakyat pula mesti prihatin untuk menghalang tindakan tidak bertanggungjawab ini kerana kebakaran hutan bukan sahaja menimbulkan masalah debu tetapi juga mencemarkan alam sekitar. Lagipun tindakan memusnahkan tumbuhan hijau samalah dengan kita merelakan alam ini terdedah kepada pelbagai bencana.

Pengenalan

  • Petikan membincangkan kesan pembakaran hutan secara terbuka.

Isi tersurat

  • Kebakaran hutan memburukkan keadaan cuaca di negara ini.
  • Kerja-kerja memadamkan kebakaran hutan memerlukan tenaga kerja dan wang yang banyak.
  • Kebakaran hutan menimbulkan persekitaran yang tidak sihat.
  • Kebakaran hutan membunuh pelbagai spesies binatang .
  • Kebakaran hutan memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan akar kayu yang boleh dijadikan ubat-ubatan.
  • Kebakaran menimbulkan masalah debu dan mencemarkan alam sekitar.
  • Alam ini terdedah kepada pelbagai bencana.

Isi tersirat

  • Kerajaan hendaklah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas pesalah.
  • Bomba hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
  • Orang ramai hendaklah melaporkan kes-kes pembakaran hutan kepada pihak berkuasa dengan segera.
  • Kerajaan hendaklah memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menahan dan mendakwa pasalah di mahkamah.
  • Kerajaan-kerajaan negeri hendaklah memantau keadaan hutan di negeri masing-masing.
  • Kerajaan hendaklah mengadakan kempen kesedaran tentang kepentingan hutan.

Kesimpulan

Semua agensi kerajaan hendaklah bekerjasama untuk mengatasi masalah pembakaran hutan supaya kita dapat menyelamatkan flora dan fauna daripada pupus.

Contoh rumusan

Petikan membincangkan kesan pembakaran hutan secara terbuka .

Kebakaran hutan memburukkan keadaan cuaca di negara ini. Kerja-kerja memadamkan kebakaran hutan memerlukan tenaga kerja dan wang yang banyak. Kebakaran hutan menimbulkan persekitaran yang tidak sihat. Kebakaran hutan membunuh pelbagai spesies binatang . Kebakaran hutan memusnahkan tumbuh-tumbuhan dan akar kayu yang boleh dijadikan ubat-ubatan. Kebakaran menimbulkan masalah debu dan mencemarkan alam sekitar.

Kerajaan hendaklah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas pesalah. Bomba hendaklah sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Masyarakat hendaklah melaporkan kes-kes pembakaran hutan kepada kerajaan dengan segera. Kerajaan-kerajaan negeri hendaklah memantau keadaan hutan di negeri masing-masing. Kerajaan hendaklah mengadakan kempen kesedaran tentang kepentingan hutan.

Kesimpulannya, semua agensi kerajaan hendaklah bekerjasa untuk mengatasi masalah pembakaran hutan supaya flora dan fauna tidak pupus.

TEKNIK MENJAWAB SOALAN KEFAHAMAN

  • Perhatikan peruntukan markah.
  • Kalau 4 markah, biasanya ada 2 isi, iaitu 2 isi dengan 2 contoh.
  • Kalau jawapan tidak memerlukan contoh, maka calon dikehendaki memberi 4 isi. (1 isi = 1 markah)

No comments:

Post a Comment